Friday, September 30, 2011

Antara "Dajal" Dan Laut Dalam

DALAM bahasa Inggeris ada satu ungkapan yang berbunyi “between the devil and the deep blue sea”. Diterjemahkan literal ke bahasa Melayu ia bererti di antar[pilihanraya]a dajal dan laut dalam yang biru warnanya.


Ia merujuk kepada dua pilihan saya sama besar ancamannya. Ungkapan ini tidak asing kepada kepemimpinan politik dan orang ramai yang berpendidikan Inggeris, tetapi mungkin dianggap kasar atau kesat oleh yang tidak biasa dengannya.



Dalam konteks pilihan raya umum yang akan datang, apakah ini pilihan yang ada kepada kita?

Boleh jadi kerana tanggapan umum terhadap orang politik begitu negatif maka jarang mereka mengaitkan orang politik dengan laut dalam yang biru airnya.

Mereka lebih kerap mengaitkan politik dan orang politik dengan dajal. Maka diciptakan pula frasa yang berbunyi “it’s better the devil know than the devil you don’t” – lebih baik dajal yang kita kenali dengan yang tidak kita kenali.

Di Barat yang kini menjadi “kiblat” politik ramai Melayu dan bukan Melayu liberal, mereka sangat tidak menyukai dan jarang sekali mempercayai orang politik. Jadi, jolokan “devil” itu kerap dirujukkan kepada mereka.

Hatta seorang pembesar politik yang dikagumi kerana kehebatan tindak tanduk dan tipu-helahnya pun dikaitkan juga dengan dajal. Dia dikatakan “devilishly clever” – cerdik macam dajal.
Pilihan Dalam PRU Akan Datang

Jadi, menjelang PRU akan datang, apakah pilihan yang ada kepada pemilih di Malaysia – adakah di antara dajal dan laut dalam yang biru warnanya atau antara dajal yang mereka kenal dengan yang tidak mereka kenal?

Minta dijauhkan Allah, pilihan yang akan dikemukakan kepada kita nanti hendaknya bukanlah dajal sebaliknya insan-insan yang boleh kita panggil pemimpin.

Barisan Nasional/Perikatan telah menguasai politik Malaysia (Malaya) sejak Pilihan Raya Dewan Perundangan Malaya tahun 1955. Di kalangan parti-parti Pakatan Rakyat pula, hanya Pas mempunyai rekod yang lama mentadbir negeri. DAP dan PKR baru pada tahun 2008 berkongsi memerintah negeri.

BN menjadi sangat lemah ketika pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi. Beliau menang besar pada PRU 2004 dan kalah teruk pada PRU 2008.

Abdullah menjadi mangsa liberalisasi politik yang tidak terancang dan pembawa-larian pentadbirannya oleh beberapa kerat “insider” yang digelar Budak-Budak Tingkat Empat. Mereka terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan pegawai-pegawai peribadi beliau.

Mohd Najib Abdul Razak naik menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009 apabila Abdullah dihambat keluar oleh gabungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Naib Presiden kanan Umno masa itu, Muhyiddin Mohd Yassin.

Atas sebab itu, Mohd Najib terpaksa berhati-hati apabila berurusan dengan Dr Mahathir dan Muhyiddin yang kini timbalan beliau merangkap Timbalan Presiden Umno.

Abdullah cuba menjadikan “Islam Hadhari” wadah perjuangannya dan jatuh tersungkur. Hari ini, Islam Hadhari hampir-hampir tidak disebut lagi.

Mohd Najib mempunyai jauh lebih banyak gagasan dan slogan. Daripada 1Malaysia kepada rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), Pemandu, KPI, NKRA dan pada malam menjelang Hari Malaysia 16 September lalu, memperkenalkan pula “cool factor” dengan mencadangkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) serta beberapa akta polok yang lain.

Banyak pihak menyindir dan menyelar retorik beliau, tetapi kerana kepandaian beliau dan “handlers” beliau memperkenalkan satu demi satu penjenamaan, rakyat jelata keliru dan akhirnya lupa janji-janji yang belum ditunaikan atau gagal pelaksanaannya sebaliknya gembira dengan janji-janji baru yang diperkenalkan satu demi satu.
Injit-Injit Semut Mohd Najib
Ada kalanya beliau memaksa pembangkang menari mengikut rentak beliau dan ada masanya rentak tarian beliau sama dengan rentak pembangkang.

Apabila beliau menguar-uarkan “package” liberalisasi politik yang termasuk pemansuhan AKDN, rentak beliau sama dengan rentak pembangkang sekian lama berkempen menghapuskan Akta itu.

Tetapi, pokok pangkalnya Mohd Najib, Umno dan BN akan diadili mengikut kriteria yang lebih asas dan fundamental seperti prestasi ekonomi, kenaikan kos sara hidup, pengangguran, kadar jenayah dan isu-isu harian.

Pemansuhan AKDN mungkin mempopularkan Perdana Menteri di kalangan pengundi minoriti Cina dan India, tetapi akan menimbulkan masalah di kalangan pengundi majoriti Melayu yang selama lebih 40 menjadi penyokong kuat ISA.

Jentera BN meramalkan prestasi baik pada PRU akan datang, termasuk menawan semula Selangor. Kalau keyakinan ini ada asasnya, ia bukanlah kerana BN telah menjadi lebih kuat, tetapi kerana PR menjadi lebih lemah.

Perkembangan dalam parti-parti PR dan di antara mereka memberi gambaran wujudnya masalah ideologi, dasar dan pendekatan yang luas.

Tarik tali antara Pas dan DAP mengenai Negara Islam/Hukum Hudud lawan sekularisme tidak membantu memperkukuhkan PR manakala isu kesinambungan kepemimpinan terumbang ambil akibat kes mahkamah ketua mereka, Anwar Ibrahim.

Keceloparan Timbalan Presiden baru Pas, Mohamad Sabu, membantu Umno kerana ramai anggota pasukan bersenjata dan perasanya marah kepada Pas. Undi pos polis dan tentera sudah dalam tangan BN.

Tetapi dengan mencadangkan pemansuhan ISA, Mohd Najib mungkin melukakan perasaan kelompok yang sama yang mengorbankan nyawa dan jasad mempertahankan negara daripada keganasan komunis dan pelampau-pelampau lain.

Duit Senjata Mohd Najib

Senjata utama Perdana Menteri adalah memberikan peruntukan khas kepada kelompok-kelompok tertentu yang menguasai peti undi.

Ini boleh beliau lakukan dengan mudah kerana beliau menyimpan banyak peruntukan belanjawan di JPM dan Kementerian Kewangan yang kedua-duanya beliau kawal.

Manakala senjata pembangkang pula adalah kejayaan mereka memaksa Kerajaan menari dengan rentak dan irama mereka.


Antara senjata tajam yang berjaya mereka gunakan adalah tujuk perasaan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. Akibat kecelaruan Kerajaan menangani tunjuk perasaan itu, PR yang bersekongkol dengan Bersih, mendapat faedah di luar jangkaan.

Walaupun Kerajaan menafikannya, tetapi majoriti berpendapat tunjuk perasaan itu telah memaksa Kerajaan bertindak balas dengan menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai reformasi pilihan raya.

Pembangkang juga mempunyai bukti yang kuat bagi mendakwa yang kerana tekanan merekalah, Mohd Najib bertindak balas dengan mengemukakan pemansuhan AKDN dan beberapa akta lagi yang selama ini mereka tentang.

Bergantung kepada bila Kerajaan membentangkan rang undang-undang pemansuhan AKDN, Pembangkang terpaksa menyokongnya, tetapi mereka belum tentu akan menyokong rang undang-undang bagi mewujudkan dua akta keselamatan baru bagi menggantikan AKDN.

Bukanlah kemenangan bagi pembangkang kalau satu akta dimansuhkan, tetapi diganti oleh dua akta baru.

Melainkan BN memperoleh semula kelebihan suara dua pertiga di Dewan Rakyat dalam PRU akan datang, ia terpaksa meminta bantuan PR bagi meluluskan dua rang undang-undang keselamatan itu. Ini bermakna, rang undang-undang itu perlu didrafkan sebagai rang undang-undang dua pihak yang membabitkan BN dan PR.

Pendek kata, walaupun kita tidak mahu pilihan kita dalam PRU akan datang menjadi “Pilihan Hobson” iaitu pilihan antara dua dajal -- dajal yang kita kenal dengan dajal yang kita tidak kenal -- kita tidak dapat lari daripada hakikat bahawa yang akan menentunya adalah parti-parti yang bertanding.

Merekalah yang akan menentukan sama ada calon-calon yang mereka kemukakan dan manifesto yang mereka tawarkan cukup bersih untuk secara sahih mencampak jauh unsur-unsur dajal yang kita takuti itu atau mereka akan mengemukakan watak-watak dan piagam yang sama.

Wallahualam.

0 comments:

Post a Comment

About Me

My photo
E-Mail : rizky_prakoso2000@yahoo.com Mobile No : 0812-7627-9991

Info

Followers

Powered by Blogger.

 
Illumination 666 powered by blogger.com
Design by Simple Diamond Blogger Templates